Keluarga pelatih CCRC failkan saman Rm1.55 juta



JOHOR BAHRU 30 Jan. - Keluarga seorang pelatih Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) Kota Tinggi yang mati dipercayai dipukul polis bantuan pusat itu memfailkan saman RM1.55 juta terhadap kerajaan dan 10 yang lain atas dakwaan cuai dalam memastikan keselamatan mangsa.

Mek Eshah Jusoh, 70, yang merupakan ibu kepada Mohamad Ezanee Zakaria, 38 memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan menerusi firma guaman, Tetuan Khairil Ahmad & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Selain kerajaan Malaysia, Mek Eshah menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pengarah CCRC Kota Tinggi, dua tertuduh, Darmaji Darwi, 25, dan Mohsin Jamari, 32, yang didakwa membunuh lelaki itu sebagai defendan kedua hingga keenam.

Sementara itu, dia turut menamakan lima tertuduh yang didakwa mendatangkan kecederaan kepada mangsa iaitu Ahmad Sukri Anaz Dahalan, 24, Ahmad Fakhrul Ezzudden Suhaimi, 27, Mohamad Fadzly Apandi, 34, Rifdi Syazwy Ramli, 24, dan Mohd. Hanif Nawawi, 34, sebagai defendan ketujuh sehingga ke-11.


 UTUSAN ONLINE