Batalion Infantri akan diwujudkan di Labuan

LABUAN, 3 Mac -  Satu batalion infantri akan ditubuhkan bagi menyokong dan memperkukuhkan lagi peranan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Labuan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pangkalan udara itu kini memainkan peranan penting dalam mengawal keselamatan negara berikutan penempatan skuadron jet pejuang hawk dan pesawat lain.

"Pangkalan tentera udara Labuan kini penting, menerajui peranan mengawal kedaulatan negara, bukan sahaja di Labuan, tetapi juga di wilayah Malaysia Timur," katanya kepada pemberita selepas melawat pangkalan TUDM itu pada Selasa.

Beliau berkata pelan projek pembangunan itu sedang disediakan bagi melengkapkannya dengan infrastruktur dan kemudahan berkaitan serta anggota tentera.

"Penempatan skuadron hawk di Labuan mencerminkan komitmen tinggi kerajaan terhadap kepentingan mengukuhkan lagi pertahanan negara, terutama di Sabah dan kawasan sekitarnya berikutan ancaman yang terdapat di Laut Sulu dan Laut China Selatan, tetapi pangkalan ini kini hanya diperkuatkan dengan penempatan pasukan," kata Rahim.

Pemindahan Skuadron Hawk dari pangkalan Butterworth ke Labuan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas bagi meningkatkan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Abdul Rahim berkata kira-kira 300 anggota TUDM ditempatkan di pangkalan itu sejak penempatan semula jet pejuang berkenaan akhir tahun lepas.

"Kami telah mengkaji beberapa isu berkaitan pengerahan anggota tentera ke sini dan ia termasuk keperluan kemudahan perumahan.

"Kami telah memohon peruntukan dan kami berharap akan mendapat kelulusan tidak lama lagi bagi mengerahkan anggota tentera secara penuh ke pangkalan ini," katanya sambil menambah bahawa RM41 juta diperlukan bagi membina kemudahan perumahan dan projek pembangunan infrastruktur asas di pangkalan TUDM berkenaan.

"Sebagai alternatif, untuk mempercepatkan proses menyediakan kemudahan perumahan, kami bercadang membaik pulih bangunan terbiar dan terdapat bangunan milik Tentera Laut Diraja Malaysia yang boleh dijadikan kuarters staf," katanya. - BERNAMA