SMK Tanjong Mas rangkul johan 3 kategori di Konvensyen Kelab Doktor Muda


KOTA BHARU – Kelab Doktor Muda mengharumkan nama SMK Tanjong Mas apabila merangkul johan bagi tiga kategori sempena konvensyen Kelab Doktor Muda peringkat kebangsaan kali keenam yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam.

Guru Penyelaras Kelab Doktor Muda, Munirah Deris berkata, konvensyen itu bertujuan memberi pengiktirafan, kemahiran dan pendedahan kepada guru, kakitangan serta pelajar berkaitan bidang kesihatan.

“Tujuh kategori dipertandingkan dan SMK Tanjong Mas memperlihatkan kebolehan mereka apabila dinobatkan sebagai johan dalam tiga kategori. Kemenangan ini amat bermakna buat sekolah kerana ia julung kali diadakan.

“Sebagai sekolah perintis, ia amat di luar dugaan kerana berjaya meraih tiga kemenangan. Ini adalah hasil kesungguhan guru penasihat dan pelajar itu sendiri. Sekolah berjaya menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan, sekali gus menjadikan pelajar sebagai ejen masyarakat ke arah celik kesihatan,” katanya.

Menurut Munirah, sempena konvensyen itu, sebanyak 14 kontinjen Kelab Doktor Muda dari sekolah menengah dan rendah berentap dalam tujuh kategori, yang mana kebanyakan mereka menunjukkan kebolehan memberangsangkan.

“SMK Tanjong Mas berjaya bawa pulang hadiah tunai RM1,000, sijil serta trofi, manakala SK Berangan pula membanggakan nama Kelantan apabila merangkul Anugerah Sekolah Cemerlang Doktor Muda bagi kategori sekolah rendah.

“Kecemerlangan ini perlu diteruskan dan dimantapkan dari sekarang sebagai persediaan awal,” katanya.