Sokong tubuh satu unit induk sukarelawan dan barang bantuan banjir



KOTA BHARU - Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir Kelantan mengalu-alukan langkah kerajaan pusat menubuhkan satu unit induk bagi menguruskan sukarelawan dan barang bantuan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Pengerusi bersama jawatankuasa tersebut, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, unit itu akan menjadi satu platform rasmi bagi melicinkan kerja untuk membantu mangsa yang terlibat dalam bencana banjir.

Menurutnya, bencana besar yang berlaku di negeri ini tahun lalu memberikan pengalaman kepada pihaknya bagi menguruskan bantuan kepada mangsa dengan pengurusan lebih baik.

“Kita alu-alukan penubuhan unit ini dan saya juga turut merasai pengalaman secara langsung 24 jam sehari ketika banjir musim lalu.

“Oleh sebab itu, kita perlu satu platform formal supaya bantuan yang akan disalurkan sampai tepat pada waktu ditetapkan dan diselaraskan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Panji, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai pengumuman penubuhan unit itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Penubuhan unit tersebut diharap secara tidak langsung dapat memberi galakan terhadap usaha murni rakyat Malaysia menyumbangkan bantuan dan juga menjadi sukarelawan.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, penubuhan unit itu juga dapat melengkapkan persediaan pihaknya untuk menghadapi musim banjir tahun ini.

“Kita belajar daripada peristiwa lalu dan akan pastikan unit ini dapat dilakukan dengan berkesan sama ada di peringkat negeri dan nasional. Tahun lalu, negeri ini terjejas teruk apabila 2,000 keluarga hilang tempat tinggal dan perkara ini perlu diberi perhatian serius,”

 katanya.