Peluang UMNO Rampas semula Kelantan di PRU14


KOTA BHARU 28 DIS - UMNO Kelantan yakin Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan peluang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sudah tiba masanya parti itu menamatkan penguasaan lebih 25 tahun PAS di negeri ini.

Beliau berkata, peluang merampaskan Kelantan juga lebih cerah selepas ketiadaan bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selain masalah perpecahan di dalam PAS.

Selain itu katanya, faktor perpaduan di dalam kalangan pemimpin UMNO yang kukuh mencerahkan lagi peluang tersebut.



“PRU-14 merupakan peluang terbaik UMNO kembali merampas Kelantan. Sebelum ini dengan adanya Tok Guru (Nik Abdul Aziz) yang merupakan tokoh hebat selain berjaya menyatupadukan pemimpin dan ahli PAS menyukarkan UMNO di negeri ini.

“Hari ini, kita dapati ada ahli PAS yang bersama DAP dan menubuhkan parti baharu. Ini (PRU-14) masa sesuai UMNO Kelantan mengembalikan maruahnya seterusnya mendirikan kerajaan di Kelantan,” katanya selepas merasmikan penutupan Konvensyen UMNO Kelantan 2015 hari ini.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat; Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan seluruh kepemimpinan UMNO negeri serta lebih 2,000 ahli parti itu.



Tambah Mustapa, seluruh ahli UMNO di negeri ini telah bersiap sedia lebih awal dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, seluruh kepemimpinan dan ahli parti itu juga menunjukkan semangat perpaduan yang cukup baik.

“Kita akan mengatur pelan-pelan tindakan lebih awal dan momentum kemenangan itu akan diteruskan sehingga pilihan raya akan datang.

“Pada masa sama, kita juga akan menyelesaikan isu-isu berbangkit yang mempengaruhi senario politik di Kelantan dan dijangka dapat ditangani menjelang awal tahun depan,” katanya.

Sumber : Sokmo.net