Pengedar dadah ditahan bersama tiga ‘lot’ morfin


TANAH MERAH - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah ini berjaya mematahkan kegiatan pengedaran dadah jenis morfin selepas menahan seorang lelaki di Gual Ipoh, dekat sini, Khamis lalu.

Lelaki dipercayai pengedar dadah itu ditahan dalam operasi AADK daerah ini bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, jam 2.30 petang.

Ketua Pegawai AADK daerah, Yaacob Mohd Daud berkata, lelaki berusia 45 tahun terbabit ditahan ketika sedang menunggang motosikal di satu jalan utama di Gual Ipoh, dekat sini.

“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki ini dan motosikal, kami menemui tiga botol kecil berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis morfin yang diletakkan dalam satu kotak rokok,” katanya, semalam.

Menurutnya, suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Yaacob berkata, pihaknya turut terlibat dalam operasi polis membanteras aktiviti penanaman dan pemprosesan daun ketum di Jedok, dekat sini.

Katanya, dalam operasi itu, seramai tujuh orang ditahan sebelum empat daripada mereka dilepaskan, manakala tiga lagi didakwa di mahkamah.

“Hasil operasi di kawasan penanaman pokok ketum seluas kira-kira 0.4 hektar, pasukan operasi turut berjaya merampas kira-kira 11 kilogram daun ketum,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3), Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Sumber  :  Sinar Harian