Kelantan arah semua PBT rampas #VAPE

KOTA BHARU, 2 Dis - Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini diarahkan supaya merampas semua peralatan menghisap vape kerana lesennya tidak pernah dikeluarkan.

Arahan itu dibuat di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) hari ini sementara menunggu mesyuarat penuh Jawatankuasa PBT pada 16 Disember ini untuk menentukan sama ada lesen penjualan vape itu tidak dikeluarkan terus atau sebaliknya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood, berkata berikutan keputusan Mesyuarat Exco itu, PBT diarahkan tidak mengeluarkan lesen berkaitan penjualan vape.Beliau berkata, kerajaan negeri mendapat pelbagai pandangan mengenai penggunaan vape ini yang dilihat lebih banyak kesan negatif termasuk kepada kesihatan.

“Kita mengambil keputusan meminta semua PBT tidak mengeluarkan sebaranglesen yang berkaitan penjualan vape.“Seperti juga shisha sebelum ini kerajaannegeri sudah mengambil keputusan tidakmembenarkan penjualannya.“Jadi, keputusan penuh mengenai penjualan vape hanya akan diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa PBT pada 16 Disember ini yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri di Kota Darulnaim,” katanya ditemui media selepas Mensyuarat Exco di sini hari ini.

Mengenai penjualan vape secara bebas sekarang, Ab Fattah berkata langkah tegas sudah diambil oleh PBT yang turut membuat pemeriksaan di premis yang menjual alat berkenaan.“Premis yang menjual alat berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang PBT termasuk merampas peralatan vape berkenaan kerana ia tidak mempunyai lesen.

“Keputusan pengharaman hanya boleh diputuskan oleh Jabatan Mufti negeri, manakala PBT hanya mempunyai kuasa daripada segi pengeluaran lesen penjualan alat berkenaan,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan pengharaman terus vape di Kelantan.

Jelasnya, kerajaan negeri terlebih dahulu ingin mendapatkan pandangan daripada semua pihak yang berkaitan termasuk Jabatan Kesihatan, Jabatan Mufti negeri dan dari sudut perundangan, sebelum keputusan muktamad dibuat.