Polis "palsu" ditahan oleh JPJ

Kuala Lumpur : Lengkap memakai jaket menyerupai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain menunggang motosikal Honda CBX750 yang diubah suai menyerupai motosikal polis trafik.

Suspek yang menyamar polis itu dilihat mengiringi kenderaan ‘VIP’ model Honda Stream.

Gelagat mencurigakan suspek berusia 40-an bagaimanapun menarik perhatian anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menahannya di Jalan Genting Klang di sini, jam 10 pagi kelmarin.

Ketua Bahagia Penguatkuasaan JPJ Kuala Lumpur Datuk Norhadzli Mohd Azhar berkata, dua anggotanya yang membuat rondaan terserempak suspek yang menyamar menyerupai polis.

“Suspek yang memakai seluar hitam, berbaju putih dan lengkap berkasut hitam itu turut membunyikan siren ketika mengiringi Honda Stream itu.

“Anggota kami mengekori suspek sebelum menahannya di pekarangan JPJ Wilayah Persekutuan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati motosikal ditunggang suspek bukan milik PDRM dan tiada surat kebenaran memasang lampu mata arah dari JPJ.

“Suspek mendakwa dia mengiringi adiknya sebelum dibawa ke unit khas motosikal untuk proses selanjutnya,” katanya.

Norhadzli berkata, motosikal suspek disita dan disiasat mengikut Kaedah 94, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor 1959.

“Mengikut kaedah 24 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (lalu lintas) 1959, hanya kenderaan polis, bomba, ambulans dan JPJ sahaja dibenarkan mendapat hak laluan di mana-mana jalan raya di negara ini untuk menggunakan lampu mata arah.

“Kami memandang serius perkara itu dan menasihatkan orang awam tidak sesekali meniru imej atau menyamar sebagai agensi penguatkuasaan di negara ini termasuk pada kenderaan,”katanya.