Tarik balik Saman - NGO Agenda

KOTA BHARU - Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan penyelesaian terbaik terhadap masalah yang berlaku.

Sebaliknya, menurut presiden NGO itu, Mohamad Zaidan Abdul Rahim, ia akan mengundang konflik berpanjangan kerana apa yang berlaku hanya mampu diselesai sekiranya kepentingan negara diletak pada kedudukan paling atas mengatasi segala-galanya.

“Secara peribadinya, saya berpendapat tindakan Tun M menyaman PM tidak mampu menyelesaikan masalah, malah akan membawa kepada konflik yang berpanjangan.

“Saya tidak bersetuju dengan tindakan ini dan berharap Tun M menarik balik saman beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rabu lalu, Tun M, Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin menfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku dalam pentadbiran.

Mengulas lanjut, Mohamad Zaidan berkata, sebagai generasi pelapis negara, mereka amat menghormati beliau sebagai seorang negarawan yang banyak menyumbang kepada peradaban bangsa.

“Apa yang penting, kita sama-sama membantu membangunkan negara dan Fajar 2020 yang hanya tinggal empat tahun dari sekarang,” katanya.

Beliau berkata, negara kini berdepan pelbagai cabaran semasa yang memerlukan persiapan fizikal serta mental, dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sama bersiap sedia.

“Negara kita adalah tanggungjawab kita, pastikan ia tidak diganggu gugat anasir luar, dan saya sentiasa mendoakan agar ada perdamaian antara keduanya demi agama, bangsa dan negara,  malah sumbangan Tun M terhadap negara sangat diharapkan untuk kelangsungan dan survival parti,” katanya.

sumber  : Sinar Harian