Parah di Kemaluan, peluru meletup

KUALA TERENGGANU: Sifat ingin tahu seorang lelaki membawa padah apabila parah di kemaluan selepas peluru penabur yang diketuknya meletup dalam kejadian di Kampung Ibok, Kemaman, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa seorang pekebun kecil berusia 25 tahun berkenaan dikatakan menemui sebutir peluru penabur di kebunnya.

Difahamkan, mangsa kemudian mengambil batu dan paku sebelum mengetuk peluru berkenaan dan menyebabkan ia meletup.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata letupan menyebabkan bebola besi dalam peluru berkenaan terkena kemaluan, tangan dan anggota badan mangsa. Katanya, letupan menyebabkan tangan dan kemaluannya mengalami kecederaan parah tetapi keadaannya kini dilaporkan stabil.

"Siasatan awal mendapati mangsa mengetuk peluru berkenaan sebanyak tiga kali sebelum ia meletup.

Peluru itu kebiasaannya digunakan dalam senapang patah.

"Mangsa kini masih lagi dirawat di Hospital Kemaman dan doktor sudah berjaya mengeluarkan 12 bebola besi yang terkena anggota badannya namun masih berusaha untuk mengeluarkan serpihan selebihnya," katanya ketika dihubungi BH, tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960

Sumber : NZ