Helikopter Terputus Hubungan – Pasukan Bertindak Ditubuhkan PDRM – TPM

Satu pasukan bertindak diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berhubung laporan kehilangan helikopter di kawasan Sebuyau, petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan itu yang turut disertai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Polis Marin (PPM) sudah berada di lokasi pesawat itu dilaporkan terputus hubungan, lapor Bhonline.

“Sepatutnya pesawat itu berlepas jam 4 petang dan sampai di Kuching pada jam 5 petang…hubungan terputus di Sebuyau iaitu kawasan berhampiran laut dan paya.

Polis sudah menghantar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan PPM untuk menyiasat laporan itu dan sudahpun berada di sana selepas laporan mengenainya diterima petang tadi. Kita doakan agar pasukan mencari dan menyelamat itu dapat maklumat yang diperlukan untuk tentukan keadaan penumpang pesawat berkenaan dan kita berharap menerima berita baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Usahawan Tani Bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Majma, Baitulmal Sarawak, Jalan P Ramlee, di Kuching malam ini.

Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Abang Johari Abang Openg dan Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.