Viral fitnah polis, Lelaki di tahan

GUA MUSANG : Polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang memfitnah anggota polis trafik mengambil daging beku dari lori terbalik menerusi laman sosial Facebook.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Yap Sow Sing, berkata tuduhan itu yang menjadi viral dalam FB menjejaskan imej polis.

Beliau berkata, individu terbabit tidak menyelidik atau mendapatkan cerita sebenar berhubung kejadian itu.

"Anggota trafik terbabit mengambil tiga kotak daging berkenaan itu selepas diberikan pembekal daging beku berkenaan yang berada di tempat kejadian," katanya

kepada pemberita selepas menghadiri majlis Aidilfitri di Kuarters Pegawai di IPD, di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi semalam, sebuah lori yang membawa daging beku terbabas di Kilometer 12 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berhampiran Kampung Tanah Puteh, di sini.

Kejadian itu menyebabkan berpuluh kotak berisi daging beku jatuh bertaburan atas jalan dan anggota polis trafik berkenaan diarahkan mengawal di tempat kejadian.

Sow Sing berkata, anggota trafik itu berada di tempat kejadian sejak jam 2 pagi hingga petang semalam bagi mengawal keadaan di situ dan menunggu pembekal daging berkenaan tiba.

Beliau berkata, pembekal itu sendiri menghulurkan tiga kotak daging beku sebagai penghargaan kepada anggota trafik yang mengawal di situ.

"Namun, individu berkenaan merakamkan gambar anggota trafik terbabit memasukkan kotak daging beku itu ke dalam kereta hingga menjadi viral,"katanya.

Katanya, seorang pegawai trafik berpangkat Inspektor membuat laporan polis di IPD Gua Musang kira-kira jam 12 tengah hari tadi berhubung fitnah itu untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Sow Sing berkata, individu terbabit juga pernah ditahan polis pada tahun 2014 di Kota Bharu kerana mencabar polis untuk bertumbuk.