PPBM Mungkin Dibatal Kelulusannya?

Sebulan yang lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan sebuah lagi parti baru yang diasaskan oleh Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yasin. Parti berkenaan diberinama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).


Antara syarat kelulusan parti berkenaan adalah, parti berkenaan haruslah menggunakan akronim PPBM bukan Bersatu seperti yang dipohon mereka. Ini kerana, terdapat sekurang-kurangnya 6 buah parti lagi yang turut menggunakan akronim yang sama dan ini memungkinkan berlaku kekeliruan pada masa hadapan. Untuk ini, kepimpinan PPBM bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh RoS.


Namun, setelah sebulan diluluskan, PPBM nampaknya memungkiri syarat yang telah ditetapkan oleh RoS. Barisan kepimpinan parti serta ahlinya dilihat semakin galak menggunakan perkataan Bersatu dalam memperkenalkan parti mereka kepada orang ramai. Malah banner, banting dan t-shirt yang mereka cetak, turut menggunakan nama Bersatu.


Mengulas tentang hal ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia jelas bertentangan dengan syarat kelulusan yang diberikan RoS, iaitu perlu menggunakan akronim PPBM dan bukannya Bersatu. Ini memungkinkan pihak RoS boleh mengambil tindakan termasuk pembatalan kelulusan kerana parti itu tidak mematuhi syarat kelulusan sesebuah pertubuhan.


Untuk rekod, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, penggunaan nama Bersatu bagi mempromosikan parti boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan kerana jelas penggunaannya melanggar perlembagaan PPBM dan syarat-syarat dalam akta berkenaan. Semua pihak dikehendaki akur kepada kelulusan dan syarat yang telah ditetapkan oleh RoS.


Jika dilihat secara teliti, apa yang telah digariskan oleh pihak RoS, kepimpinan parti berkenaan jelas telah melanggar syarat kelulusan yang diberi akibat kerakusan mereka untuk menambah ahli. Mungkin bagi mereka, akronim ini perkara kecil, namun semua pihak harus faham, apabila ianya sudah digariskan dalam syarat kelulusan, tidak kira siapa sekalipun, semua pihak harus akur dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan tanpa kompromi.


Jika kepimpinan PPBM masih berdegil untuk menggunakan akronim Bersatu untuk mempromosikan parti mereka, usah terkejut andai satu ketika nanti, pihak Kementerian Dalam Negeri dan RoS akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang, membatalkan pendaftaran parti berkenaan.


RoS bukan tidak pernah membatalkan lesen yang telah mereka berikan kepada sesuatu pertubuhan hanya kerana kegagalan pertubuhan berkenaan mengikut apa yang telah disyaratkan oleh pihak RoS. Usah kerana terlalu taksub dan ghairah, syarat dan garis panduan pun dilanggar. Belajar untuk berdisiplin dan jangan terlalu hanyut mengikut perasaan dendam sahaja.