KADA terima bajet hampir RM100 juta

Md. Alwi Che Ahmad (dua kiri) bersama Ibrahim Mat (kanan) beramah mesra dengan kakitangan KADA selepas meninjau pusat perkembangan agensi itu di Gunong, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

BACHOK 15 Dis. - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan menerima peruntukan
Kerajaan Persekutuan sebanyak RM65 juta khusus untuk perbelanjaan pengurusan dan RM34.5 juta bagi perbelanjaan pembangunan sepanjang 2014 yang dijangka mampu memberi impak kepada peningkatan produktiviti pertanian termasuk meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.

Pengerusinya, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya akan memantau pelbagai sudut bagi memastikan 29,000 hektar tanaman padi yang diusahakan di kawasan operasi KADA mampu mencapai sasaran purata hasil padi sebanyak 6.5 tan metrik sehektar pada musim hadapan.

Pada masa sama, katanya, KADA memberi jaminan bekalan air yang dialirkan ke sawah padi bermula Januari depan adalah mencukupi termasuk bagi penanaman bagi musim kedua 2013/2014.

"Galakan dan suntikan semangat supaya penanaman padi dilaksanakan petani secara produktif mengikut amalan dan teknologi pertanian akan terus ditingkatkan termasuk memastikan pegawai KADA sentiasa bersama petani bagi memberi bantuan teknikal dan kepakaran di sawah," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau perkembangan pentadbiran di Pejabat KADA Jajahan Bachok di Gunong, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat serta para pemimpin masyarakat.

Md. Alwi berkata, sebahagian peruntukan yang disalurkan akan difokuskan kepada pembinaan benteng sepanjang tiga kilometer di kawasan penanaman padi di daerah ini bagi mengatasi kemusnahan tanaman padi akibat kemasukan air masin dari laut ketika berlakunya air pasang besar.

Beliau berkata, peruntukan tambahan bagi tujuan ini akan dipohon semula menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membataskan pasar air laut yang pasang besar sehingga 0.9 meter melimpah ke sawah padi yang berdekatan selain berusaha membaik pulih kesuburan struktur tanah masam kelat disebabkan faktor air payau.

Menurutnya, projek penanaman padi di Alor Bakat seluas 180 hektar dan 262 hektar di Pauh Sembilan di bawah program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang menunjukkan peningkatan hasil sehingga 5.5 tan metrik sehektar adalah rangsangan utama bagi ditingkatkan sehingga mencapai sasaran 6.6 tan metrik sehektar mulai tahun hadapan.

"Hasil penyeliaan yang berterusan di daerah ini, KADA mendapati kira-kira 5,000 penanam padi di kawasan operasi lembaga ini memperoleh pelbagai manfaat termasuk insentif yang disediakan oleh kerajaan. Malah, tiada kerosakan padi disebabkan banjir dilaporkan berlaku selain memiliki rumah pam air sendiri," katanya.

Md. Alwi berkata, bekalan input pertanian yang disediakan oleh KADA seperti benih padi, racun dan baja adalah mencukupi dan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menuduh agihan subsidi baja dilaksanakan secara tidak telus.

"Kita mengagihkan semua bekalan subsidi baja secara adil dan telus berasaskan kepada matlamat mencapai hasil tuaian yang tinggi dengan nikmat pendapatan yang melegakan petani yang gigih mengusahakan tanaman padi," katanya.


Sumber  :  Utusan Malaysia