Mat Sabu disaran lafaz sumpah




KUALA LUMPUR 18 Dis. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu disaran melafazkan sumpah di masjid bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengamal dan memegang ajaran Syiah.

Pengerusi Biro Antarabangsa, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, keadaan dikhuatiri bertambah buruk sekiranya Mohamad mengheret isu itu ke mahkamah.

"Saya ingin mencadangkan kepada Mohamad agar melafazkan sumpah tersebut di masjid bagi menyelesaikan kemelut ini agar tidak dipolitikkan.

"Sebagai umat Islam, kita wajib memelihara hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mohamad menyatakan akan membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan ajaran Syiah sebelum memfailkan saman fitnah.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO sebelum ini mendedahkan, seorang pemimpin kanan Pas adalah pengikut Syiah ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Fakhrul Azman memberitahu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengakui tentang bahaya ajaran Syiah.

"Jadi, adalah lebih baik sekiranya UMNO dan Pas duduk berbincang bagi menyelesaikan kemelut ini demi perpaduan umat Islam serta orang Melayu," ujarnya.


Sumber  :  Utusan Malaysia