Rebut Skim Sara 1Malaysia



Ruhaidah Mohamed Salleh (kiri) memberikan penerangan kepada orang ramai dalam Majlis Taklimat Skim Amanah 1Malaysia di Kota Bharu, Kelantan, semalam. utusan/Rosmizan Resdi
KOTA BHARU 18 Dis. - Rakyat Kelantan disaran mengambil peluang menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) yang masih lagi dibuka sehingga hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Hal Ehwal Mahasiswa dan Siswazah Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Wan Azli Nik Abdul Majid berkata, skim itu adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat dalam menangani kesan kos sara hidup semasa.

Menurutnya, peluang tersebut perlu direbut memandangkan masih ada kekosongan sebanyak 5,000 untuk isi rumah membuat permohonan.

"Permohonan untuk Sara 1Malaysia ini dibuka kepada mereka berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

''Mereka boleh membuat pelaburan RM5,000 bagi tempoh lima tahun dengan membayar ansuran RM84 sebulan.

"Apabila cukup tempoh itu, mereka diramalkan memperoleh RM13,000,'' katanya.

Wan Azli memberitahu, bagi orang Kota Bharu, kami menyasarkan seramai 3,000 isi rumah akan menyertai skim ini bagi mengukuhkan kewangan mereka menerusi pelaburan yang dilakukan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Taklimat Sara 1Malaysia anjuran bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB), POKB dan UMNO Bahagian Kota Bharu hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Unit Komunikasi & Pentadbiran, Projek Khas Bahagian Unit Amanah PNB, Ruhaidah Mohamed Salleh.

Dalam majlis berkenaan, kira-kira 300 orang hadir mendengar taklimat mengenai Sara 1Malaysia yang disampaikan oleh Ruhaidah.

Wan Azli berkata, POKB juga akan sentiasa berusaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini.

"Ini adalah usaha kita untuk merakyatkan POKB dan saya menyeru orang ramai untuk membuat permohonan.

"Bagi sesiapa yang berminat untuk turut serta melabur dalam Sara 1Malaysia ini boleh mengambil dan menyerahkan borang permohonan di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri," katanya.


Sumber  :  Utusan Malaysia