Jangan buat spekulasi kematian pelajar tahfiz di Kok Lanas




KOTA BHARU 18 Dis. - Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Maahad Tahfiz Nurul Aman di Kok Lanas yang ditemui tergantung di bilik air asrama sekolah itu, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, tindakan itu boleh mengelirukan masyarakat, menjejaskan siasatan pihak berkuasa serta mengguris perasaan keluarga mangsa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat sebaliknya perlu menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak sewenang-wenang mendedahkannya di laman sosial Facebook dan sebagainya.

"Mereka yang mendedahkan kenyataan tidak benar dan berunsur fitnah boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.



Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa ditemui mati tergantung dalam keadaan separuh bogel di bilik air asrama sekolah berkenaan oleh penyelia asrama tersebut, Zul Atfi Muhammad, 37, ketika membuat rondaan bersama pengetua sekolah, Ahmad Pakharudin Deraman, 45.

Yong Heng berkata, pihak polis juga telah menyiasat pemilik dua laman sosial Facebook kerana dikatakan menyebar berita kononnya pelajar terbabit dibunuh sebelum digantung dan bedah siasat pula mendapati ada kesan tikam pada perut mangsa.

"Sebenarnya siasatan yang dilakukan tidak menemui elemen yang boleh dikaitkan dengan sebarang perlakuan jenayah dengan kematian mangsa.

"Hasil bedah siasat juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh badan mangsa," katanya.


Sumber  : Utusan Malaysia