Tahap selamat di Terengganu 99.7 peratus



Abdul Hadi Mohd. Salleh (dua kiri) menyampaikan anugerah khas kepada 
Mazlan Ismail sambil diperhatikan Bazlan Abd. Rahman (tiga kiri) dalam Program Semarak Padu 2013 Peringkat Daerah Kuala Terengganu, di sebuah resort di Kuala Terengganu, malam semalam.


KUALA TERENGGANU 17 Dis. - Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mendapati tahap rasa selamat dalam kalangan penduduk di negeri ini berada pada paras 99.7 peratus.

Pengarah JPNIN Terengganu, Burhanuddin Daud berkata, peratusan itu meletakkan negeri ini dalam kelompok tertinggi selain Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis.

"Pihak kami mendapatkan maklum balas daripada hampir 11,000 responden di seluruh negeri hasil kaji selidik yang dijalankan melalui peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri ini. Kajian sebegini dilakukan dua kali setahun.

"Kita melihat perbezaan politik di negeri yang majoriti bangsa Melayu tidak menjejaskan rasa tenang dan selamat malah penyertaan kelompok masyarakat tanpa mengira fahaman itu dalam KRT dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) banyak membantu termasuk menjaga keharmonian dan mencegah jenayah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Semarak Padu 2013 anjuran pejabat JPNIN Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama KRT Daerah dan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di sini malam tadi.

Perasmian program itu disempurnakan oleh Pengarah Pembangunan Komuniti JPNIN Malaysia, Abdul Hadi Mohd. Salleh yang kemudiannya turut menyampaikan geran kepada 10 KRT dan SRS yang baru ditubuhkan di daerah ini.

Dalam majlis itu, KRT Lorong Hj. Der, Anugerah telah diberikan Anugerah Khas Sistem e-RT yang diterima wakilnya, Mazlan Ismail

Burhanuddin menarik perhatian, di negeri ini, sejumlah 401 KRT sudah ditubuhkan sehingga kini dengan sejumlah 352 SRS dan daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi iaitu 103 KRT dan 113 SRS.

Beliau menyasarkan jumlah KRT dapat ditingkatkan kepada 450 pada tahun depan di samping tumpuan turut diberikan untuk menarik penglibatan golongan muda untuk berperanan lebih besar dalam KRT dan SRS.

Sementara itu, Abdul Hadi, ketika berucap pada majlis tersebut berkata, dalam usaha menarik penglibatan lebih meluas dan berperanan lebih berkesan, kerajaan memperuntukkan RM70 juta pada tahun depan bagi perkembangan KRT di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk menyewa pusat Rukun Tetangga.

Katanya, geran tahunan berjumlah RM6,000 setiap tahun hanya akan disalurkan kepada KRT yang aktif manakala yang lesu akan diberi tempoh masa untuk dipulihkan sebelum geran disalurkan.

Menurut beliau, mulai tahun depan, peranan KRT akan lebih berorientasikan khidmat masyarakat dan perjalanan kegiatannya akan turut dipantau melalui sistem dalam talian apabila segala maklumat dimuat naik.


Sumber  :  Utusan Malaysia