Kepentingan Cukai kepada Rakyat dan Negara



"Cukai" merupakan satu instrumen ekonomi yang amat penting bagi sesebuah
Negara memperolehi hasil atau pendapatan. Hasil daripada Cukai ini di
gunakan oleh sesuatu Kerajaan itu untuk mentadbir dan mengurus Negara dan
juga bagi perbelanjaaan membangunkan Negara. Cukai yang di kutip ini
dibelanjakan oleh Kerajaan bagi tujuan Keselamatan Negara dan Rakyat,
pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti jalanraya, hospital, sekolah,
tujuan membangunkan ekonomi, tujuan sosial seperti perkhidmatan kesihatan,
pendidikan, kebajikan rakyat dan banyak lagi. Oleh itu kita perlu faham yang
hasil cukai yang diperoleh daripada Rakyat melalui cukai yang kita sebagai
individu perlu bayar kepada Kerajaan akan dapat dimanfaatkan dan di nikmati
balik oleh kita sebagai Rakyat.

Cukai adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kita,
pentabiran Negara dan ekonomi. Malah, jika kita melihat isu cukai ini dengan
lebih mendalam, kita akan dapat melihat bahawa orang yang mendapat
manfaat daripada cukai yang dikenakan ialah diri kita sendiri.
Secara ringkasnya, cukai ialah kunci kepada pentadbiran negara yang
berkesan dan kita tidak akan dapat lari darinya. Namun, sebelum kita boleh
menerima cukai dengan hati yang terbuka, seseorang itu perlulah faham
bagaimana dan kenapa cukai digunapakai oleh sesebuah Negara.

Antara tanggungjawab kerajaan – yang memerlukan pendapatan dari cukai –
ialah membina sekolah sebagai tempat untuk mendidik kanak-kanak. Cuba
kita bayangkan di manakah kita sekarang, jika kerajaan mengabaikan
tanggungjawab ini?

Selain daripada itu, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk menyediakan
infrastruktur asas seperti membina jalan yang menghubungkan kampung,
pekan dan bandar dengan kawasan sekitarnya, dan membolehkan aktiviti
perdagangan berlaku antara kawasan-kawasan tersebut.

Kerajaan juga bertanggungjawab untuk membina kemudahan awam seperti
pasar untuk memberi ruang kepada rakyat untuk berniaga dan menjalankan
kegiatan ekonomi mereka.

Peniaga tempatan akan mendapat keuntungan apabila barangan import
dikenakan cukai. Ini kerana ia  akan menggalakkan pengguna untuk memilih
barangan tempatan yang lebih murah. Ini adalah satu strategi perdagangan
yang penting yang digunakan oleh negara-negara di seluruh dunia dalam
menjaga kepentingan rakyat tempatan.

Satu lagi kebaikan cukai ialah cukai yang dikenakan ke atas barangan seperti
minuman keras, rokok dan perjudian. Beban cukai ke atas barangan-barangan
ini adalah untuk memastikan aktiviti tidak sihat seperti meminum minuman
keras, merokok dan berjudi akan dapat dikawal dan tidak mendatangkan
kemudaratan kepada masyarakat. Selain itu, cukai yang dikenakan ke atas
barangan-barangan ini juga boleh digunakan kearah aktiviti pemulihan, alam
sekitar dan pelbagai kempen untuk menggalakkan cara hidup sihat.

Berdasarkan prinsip yang sama, kerajaan Malaysia memberi pelepasan cukai
ke atas pembelian buku untuk menanamkan sikap rajin membaca di kalangan
rakyat. Dengan adanya sistem percukaian, kerajaan mampu untuk membentuk
masyarakat dan memupuk aktiviti sihat di kalangan rakyat.

Di Negara kita, hampir 70% daripada Hasil Negara datangnya dari Hasil Cukai.
Cukai ini boleh di kelaskan kepada Cukai Langsung dan Cukai Tak Langsung.

Cukai Langsung merupakan Cukai yang kita sebagai Rakyat membayar terus
atau langsung kepada pihak Kerajaan.  Contoh Cukai Langsung yang paling
ketara adalah seperti Cukai Pendapatan dan urusan hal ehwal Cukai
Pendapatan ini di tadbir oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.
Sekiranya kita layak di kenakan Cukai Pendapatan, Cukai Pendapatan
merupakan Cukai yang dikenakan terhadap pendapatan yang kita perolehi.
Lebih banyak pendapatan yang kita peroleh, lebih banyak lah Cukai
Pendapatan yang kita kena bayar.

Cukai Tak Langsung pula adalah Cukai yang tidak di bayar terus atau langsung
kepada Pihak Kerajaan. Cukai Tak Langsung ini kita bayar kepada sesebuah
kedai atau entiti perniagaan dan entiti perniagaan ini kemudiannya akan
membayar cukai ini kepada pihak Kerajaan. Contoh Cukai Tak Langsung
adalah seperti Cukai Perkhidmatan dan juga Cukai Jualan. Urusan Cukai
Perkhidmatan dan juga Cukai Jualan ini ditadbir oleh pihak Jabatan Kastam
di Raja Malaysia. Sebagai contoh, apabila kita menginap di sesebuah Hotel
atau makan di kedai kedai tertentu dan apabila kita membuat bayaran dan
memperoleh resit bayaran, akan tertera di atas resit bayaran tersebut
perkataan cukai perkhidmatan 6%. Cukai ini kita bayar kepada Hotel tersebut
dan Hotel tersebut kemudiannya akan membayar Cukai Perkhidmatan ini
kepada pihak Kerajaan.

Cukai Jualan pula merupakan Cukai yang dikenakan keatas pengilang yang
mengilang barangan dan juga keatas pegimport yang mengimport barangan.
Kebanyakkan barangan yang di kenakan Cukai Jualan adalah pada kadar 10%.
Contoh barangan yang di kenakan Cukai Jualan adalah perabot, peti ais,
television, baju, kasut, beg tangan dan banyak lagi barangan. Kita sebagai
pengguna tidak tahu yang barangan ini telah di kenakan Cukai Jualan sebab ia
tidak dinyatakan kepada kita. Cuma elemen Cukai jualan ini telah diambil
kira sebagai kos apabila para peniaga menetapkan harga jualan barangan
tersebut. Kita perlu faham yang hampir kebanyakkan barangan yang kita beli
sekarang telah pun di kenakan Cukai Jualan.

Sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang ada sekarang mempunyai
banyak kelemahan dan Kerajaan kehilangan banyak hasil disebabkan oleh
kelemahan ini. Sebagai satu langkah reformasi cukai dan bagi memastikan
sistem percukaian yang lebih adil telus dan efisien pihak Kerajaan telah
menyatakan hasrat untuk memansuhkan Cukai Jualan dan Cukai
Perkhidmatan yang ada sekarang dan menggantikannya dengan Cukai Barang
dan Perkhidmatan atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Goods and Services Tax’ 
(GST)

Cukai barang dan perkhidmatan telah diperkenalkan di lebih daripada 160
buah negara di seluruh dunia dan telah terbukti berkesan di dalam konteks
ekonomi moden. Negara-negara seperti Singapura, United Kingdom, Australia
dan Thailand telah lama memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan
ini. Dengan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan ini, Negara akan
melangkah setapak lagi ke arah status Negara maju dan Rakyat akan berada
dalam sistem percukaian yang lebih adil, telus dan efisien.

Sumber : jimatcermat.my