LNA : BENARKAH GST MEMBEBANKAN RAKYAT BAWAHAN ?

Coretan Ringkas Lokman Noor Adam, seorang facebooker tegar....

Pagi ini seorang sahabat dari Pendang menghantar satu video penipuan Rafizi Ramli dalam Parlimen yang mengatakan bahawa GST akan membebankan golongan bawahan.

Suka saya jelaskan seringkas mungkin di sini. Semasa plan GST dirangka, arahan YAB Perdana Menteri kepada Kementerian Kewangan (MOF) sangat jelas, "Pastikan golongan berpendapatan rendah tidak terjejas". Maka apa yang MOF buat, mereka telah mengkaji bagaimana golongan berpendapatan RM 2,000 membelanjakan gaji mereka. Hasil yang diperolehi mendapati mereka menggunakan 60-70 peratus gaji mereka untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, sayur, daging, ikan, lampin pakai buang dan lain-lain produk.

Maka produk-produk ini kerajaan telah putuskan dijadikan barangan berkadar sifar. Maknanya tiada gst dikenakan keatas barangan tersebut. Manakala baki 30-40 peratus gaji golongan berpendapatan RM 2,000 sebulan itu digunakan pula untuk membiayai pendidikan anak mereka, kesihatan, membayar ansuran kereta dan rumah, biaya pengangkutan awam, membayar tol, dan macam-macam lagi. Maka barangan dan perkhidmatan ini diputuskan pula sebagai barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan GST.

Kesimpulannya, kalau golongan berpendapatan RM 2,000 ke bawah ini hendak hidup tanpa GST pun boleh. Tapi takkan mereka langsung tak membeli barang kehendak sama sekali? Setidak-tidaknya mereka akan beli baju baru menjelang Hari Raya, Tahun Baru Cina ataupun Deepavali. Ketika tu memanglah mereka tidak boleh elak dari membayar GST. Tapi kadarnya jauh lebih murah berbanding dulu. Di bawah Sistem Percukaian lama SST, mereka kena bayar cukai jualan dan jangan lupa harga yang mereka bayar turut mengandungi elemen cukai berganda dan bertingkat. Tapi bila GST dilaksanakan, mereka akan bayar hanya 6%.

Berkelulusan sebagai seorang akauntan tidak menjamin seseorang itu faham tentang GST. Terlalu banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Rafizi menampakkan bertapa ceteknya pemahaman beliau tentang GST. Malah kadang-kala agak melucukan terutamanya apabila beliau membetulkan kenyataan seorang Professor dengan menggunakan fakta yang salah semasa Debat Sinar Harian sekitar Mei tahun lepas.

Tanpa ada rasa malu, Rafizi membetulkan kenyataan Professor dari UITM yang mengatakan bahawa selepas ini rakyat hanya akan membayar cukai sebanyak 6% di bawah GST berbanding sekarang, mereka terpaksa membayar 10% cukai jualan dan 6% cukai perkhidmatan.

Dengan gaya dan nada yang cukup angkuh, Rafizi mengatakan cukai jualan tidak boleh disekalikan dengan cukai perkhidmatan. Jika kita sudah membayar cukai jualan, kita tidak akan dikenakan cukai perkhidmatan. Saya sangat terkejut dengan kenyataan Rafizi ini, adakah beliau benar-benar tidak faham tentang GST atau memang sengaja menipu. Kalau betul beliau memang tidak faham, biar saya bagi contoh untuk memahamkan beliau.

Contoh Pertama :
Jika kita makan maggi. Maggi tersebut sudahpun ada elemen cukai jualan. Pihak kilang telah membayar cukai jualan semasa maggi tersebut dijual kepada pemborong. Jika kita makan maggi tersebut di Restoran Pelita umpamanya, kita akan dikenakan cukai perkhidmatan pula. Elemen cukai bertindih ini memang wujud dibawah sistem SST, tetapi ianya tidak wujud dibawah GST.

Contoh Kedua :
Katakanlah kita terisi angin lebih pada tayar kereta kita dan mengakibatkan ianya meletup. Bila kita membeli tayar baru, tayar tersebut sudahpun ada elemen cukai jualan 10%. Pernah ke kita dengar ada orang tukar tayar keretanya sendiri? Kalau setakat mengganti tayar gantian sementara memanglah boleh, tetapi bila tayar nak dikeluarkan dari rim sebelum dipasang tayar baru ke rim tersebut, kita perlukan mesin untuk melakukan kerja berat tersebut. Bila kita meminta pihak kedai memasang tayar yang kita beli ini, mereka akan kenakan cukai perkhidmatan sebanyak 6% pula.

Saya harap dengan penjelasan ringkas ini akan menambah pemahaman anda terhadap GST. Semoga dengan perkongsian maklumat ini kita akan dapat mengurangkan jumlah mangsa penipuan Rafizi hendaknya, In Sya Allah.

Follow Lokman Noor Adam Facebook