SASER sekolah terbaik SPM 2014



SIKAMAT –  Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (Saser) di Sikamat, di sini, dipilih sebagai sekolah terbaik peringkat kebangsaan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan semalam.

Daripada 270 calon sekolah itu, seramai 128 pelajar berjaya memperolehi gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengetuanya, Sabudin Sani berkata, ia merupakan kali ketiga sekolah itu dipilih sebagai sekolah terbaik dalam keputusan SPM.

Menurutnya, tiada rahsia kejayaan diamalkan sekolah berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Seremban, melainkan gabungan kerjasama guru dan ibu bapa.

“Sekolah ini tiada rahsia. Tapi program yang kita aturkan bersifat berterusan daripada awal tahun lagi di mana dalam takwim sekolah, pada minggu pertama sahaja selepas kemasukan pelajar sudah diadakan bengkel mata pelajaran.

“Selain itu aktiviti kerohanian di surau juga diberi perhatian selain menyediakan persekitaran yang selesa kepada pelajar. Bagi saya gabungan inilah yang boleh dijadikan rekod kejayaan kami,” katanya yang sudah berkhidmat sebagai pengetua di sekolah itu sejak lapan tahun lalu.

Sementara itu pelajar cemerlang sekolah berkenaan yang memperolehi 10 A+, Thoriqziad Absha Abdul Rahman berkata, tiada yang paling membanggakannya apabila berjaya memberi pencapaian terbaik kepada sekolahnya, sekali gus menggembirakan guru yang mendidiknya selama ini.

“Bagi saya kita sendiri kena usaha cari sumber ilmu lain yang dapat membantu dan bukan sekadar menunggu daripada guru sahaja, " katanya.

Bagi ibunya, Sharifah Hanisah Tuan Syed Dabal, 46, dia turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian anak keduanya itu yang juga menjadi harapan keluarga.

“Tak banyak yang saya bantu dia. Bagi saya Thoriqziad mencapai keputusan cemerlang atas usahanya sendiri kerana dia memang seorang anak yang baik dan rajin,” katanya.