Belanjawan yang dibentang esok akan jaga kebajikan rakyat

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yakin bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan esok mampu menjaga kebajikan rakyat.

Annuar berkata, jaminan itu dibuat walaupun dalam masa yang sama kerajaan perlu  memastikan keseimbangan agihan  dibuat secara realisitik.

"Kerajaan terpaksa membentangkan bajet dalam satu suasana yang cukup mencabar, sebenarnya tidak mudah sebab permintaan rakyat begitu banyak, yang realitinya dalam keadaan ekonomi sekarang, dengan kejatuhan harga komoditi, harga minyak, dengan pendapatan negara kuncup dengan banyaknya dan ini memerlukan menteri kewangan dan juga perdana menteri merangka satu bajet yang tetap mampu menyelesaikan masalah-masalah utama rakyat.

"Terutamanya dalam soal mengekang kenaikan harga, kos hidup yang meningkat dan pada masa yang sama mengekalkan suasana ekonomi yang kukuh dan mengekalkan kadar KDNK yang tinggi.

"Ini bukan satu perkara yang mudah, memerlukan kreativiti dan memerlukan satu dasar yang membolehkan ada satu keseimbangan di antara kekangan sumber pendapatan dan agihan kepada sektor yang tertentu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen tadi.

Beliau mengulas mengenai gesaan orang ramai yang mahukan kerajaan memberi fokus kepada rakyat marhaen dan bukannya hanya menjurus kepada projek-projek mega.

Anuar yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut mengkritik bajet pembangkang yang dilihat hanya mahu meraih populariti.

"Kita hanya perlu mendengar bajet pembangkang, pembangkang mencari beberapa point untuk menarik perhatian dan populariti.

"Kerajaan perlu membuat sesuatu secara realistik dan bertanggungjawab, jadi peranan pembangkang dan kerajaan itu jauh berbeza," katanya.

Jelasnya, ianya adalah jauh beza dengan bajet kerajaan yang dilihat lebih bertanggungjawab dan tidak seperti bajet yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan.

"Peranan pembangkang itu cukup jelas menawarkan pakej yang hanya tujuannya mendapatkan populariti tetapi kerajaan mesti bijaksana kerana pada kerajaan kalau kita membuat silap, rakyat terbanyak akan menanggungnya," katanya.

Semalam, Pakatan Harapan membentangkan bajet yang antaranya mahu menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Bajet Alternatif 2016 Pakatan Harapan.

Selain itu, bajet Alternatif itu juga mencadangkan agar tempoh perkhidmatan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilanjutkan dua tahun lagi dalam usaha memulihkan keyakinan pelabur.

Bahkan Pakatan Harapan turut mensasarkan untuk meletakkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah pengurusan dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.