Enggan minta maaf, Kit Siang digantung hadir Parlimen enam bulan


KUALA LUMPURB: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee mengumumkan keputusan itu selepas Penasihat DAP itu tetap dengan pendiriannya enggan memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat walaupun diberi peluang berbuat demikian empat hari lalu.

Kit Siang sebelum ini menuduh Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai sengaja mensabotaj siasatan yang sedang dibuat ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bersikap diktator berhubung isu itu.

"Sesuai dengan keputusan ini, saya minta Gelang Patah meninggal dewan," kata Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee sebelum mengumumkan sidang Parlimen berhenti rehat.

Kit Siang di dalam Dewan Rakyat menafikan bahawa pernah mengeluarkan kata-kata bahawa Pandikar dengan sengaja menghentikan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad  (1MDB).

Ahli politik veteran itu berkata beliau tidak akan memohon maaf dan akur pada penggantungan itu.

"Saya hormat (keputusan usul ini), saya tidak pernah kata beliau (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) sengaja salahguna kuasa dan sabotaj (dalam siasatan terhadap 1MDB) dan dia tidak komplen, tidak boleh (beri) tafsiran yang sewenang-wenangnya, saya tidak tuduh Speakar diktator," katanya.

"Biar (penggantungan) saya jadi pengajaran kepada semua", ujarnya.

Terdahulu, sidang Parlimen disebelah pagi kecoh selepas Ronald membenarkan usul tersebut dibahas.

Ronald berkata usul itu diluluskan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 27(3) Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Beberapa ahli Parlimen pembangkang bangun dan mempersoalkan keputusan tersebut.

Antara yang bingkas bangun Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendren; Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan banyak lagi.

Namun Ronald tetap dengan keputusannya untuk usul tersebut dibahas.

Usul tersebut diusul oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman selepas Kit Siang enggan memohon maaf.

"Gelang Patah (Lim Kit Siang) tidak minta maaf, masih mengatakan seolah-olah cuba menjatuhkan beliau. Peluang (untuk minta maaf diberi) dari hari pertama dan hari ini sudah hari keempat, minta maaf pun tidak mahu.

"Kerajaan tetap menyatakan kepada Speaker, kami (BN) tidak ada pilihan memohon mencadangan usul ini", katanya di Dewan Rakyat.

Azalina pada lewat petang semalam mengusulkan usul menggantung Kit Siang, namun menarik baliknya selepas diminta berbuat demikian oleh Pandikar.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pengerang itu membuat pusingan U dan mengusul semula usul tersebut bagi memastikan kredibiliti institusi Parlimen terjaga.

sumber : Antarapos