Isu khutbah Aidiladha: DAP tangguh tindakan undang-undang terhadap JAIP

 

KUALA LUMPUR: DAP Pahang memutuskan untuk menangguhkan  tindakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung teks khutbah Aidiladha yang didakwa memfitnah parti berkenaan.

Pengerusinya , Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Mufti itu bagi mengadakan perbincangan dan meminta penjelasan secara berhemah.

"Islam mementingkan akhlak dan teguran wajar disampaikan dengan baik, bukan melempar tuduhan tanpa usul periksa.

"Kita mahu berbincang secara dalaman bagi mendapatkan penjelasan serta bukti terhadap apa yang telah dinyatakan dalam khutbah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini.

Katanya, pendekatan itu diambil selepas meneliti pandangan yang dikemukakan peguam, ilmuan Islam dan rakan seperjuangan berhubung perkara berkenaan.
 

Terdahulu, Zulpuri berkata pihaknya memberi tempoh lima hari kepada JAIP untuk membuat permohonan maaf berhubung kandungan teks khutbah Aidiladaha yang didakwa memfitnah parti itu. 

Mereka juga menuntut JAIP untuk menarik kembali teks berkenaan, sebelum akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya tiada maklum balas daripada jabatan agama itu dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman bagaimanapun bertegas tidak akan tunduk kepada tuntutan DAP itu sambil mempertahankan teks khutbah berkenaan tidak langsung berbaur fitnah, sebaliknya adalah nasihat kepada umat Islam agar bersatu. 

Mengulas lanjut, Zulpuri berkata pihaknya akan menghubungi Jabatan Mufti Pahang dan menjangkakan ia dapat diadakan minggu depan.

"Harap mereka dapat terima kita untuk adakan perbincangan secara dalaman. Kita akan tunggu respons mereka," kata ADUN Mentakab itu. 

sumber : antarapos.com