Kertas siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Melaka selesai - KPN

 

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyelesaikan kertas siasatan berhubung kenyataan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang mendakwa kononnya Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah menukar agama. 

Ujar Khalid, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Kita tahu dia (Rahim) ada beberapa kali memohon maaf kerana kenyataannya tetapi itu terpulang kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk menyiasatnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak, Tan Sri Yuen Yuet Leng, yang meninggal dunia pada Khamis, di Pusat Xiao En, Jalan Kuari, Cheras, di sini, hari ini.

Khalid berkata, polis menerima beberapa laporan polis berhubung kes berkenaan.

Beberapa laporan media sebelum ini melaporkan Abdul Rahim telah memuat naik status di laman sosial miliknya mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah murtad.

Pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah telah menukar agama.

sumber : antarapos.com