Penerangan TPPA Akan Diperhebat Ke Seluruh Negara



Penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada rakyat akan diperhebatkan ke seluruh negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, akan menjelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan pelbagai golongan termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), usahawan dan wakil-wakil kerajaan negeri untuk memberi penerangan mengenai TPPA.

“Mereka yang menentang itu mungkin kerana tidak faham (TPPA) jadi, kita akan memperhebatkan sesi penerangan itu dengan menggunakan bahasa yang mudah. Sebagaimana yang kita lakukan hari ini dan mereka telah menyatakan kefahamannya,” 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi penerangan mengenai TPPA kepada kira-kira 1,000 orang termasuk pegawai kerajaan dan negeri, pemimpin NGO dan usahawan negeri di Kota Bharu pada Ahad.

Mustapa berkata, selain secara bersemuka, sesi penerangan mengenai TPPA itu akan dilakukan melalui portal kementeriannya.

“Kita bertanggungjawab dan yang penting kita hendak telus, nak dedah semua, hendak beritahu, ini penting untuk masa depan kita,” katanya.

Tegas Mustapa, beliau sendiri akan melakukan penerangan mengenai perkara itu kerana beliau terlibat secara langsung dan faham terutama dalam soal teknikal mengenai perjanjian tersebut.

Menurut laporan, menteri-menteri perdagangan Pasifik telah merumuskan rundingan bagi TPPA baru-baru ini.

Pihak-pihak yang terlibat ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, semua pihak harus melihat faedah jangka panjang yang mampu diraih Malaysia menerusi TPPA.

Beliau sekali gus menyokong kenyataan Mustapa berhubung keperluan mengadakan sesi penerangan TPPA kepada orang ramai. – 12 Okt 2015.

Sumber - Sokmo.net