KM Melaka - UMNO Akan Promosi Muzium Umno Melaka Sempena PAU 2015

MELAKA, 30 Nov - Badan Perhubungan UMNO Melaka akan mempromosikan Muzium UMNO Melaka di Bandar Hilir di sini pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015 yang akan berlangsung awal bulan depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Haron.

Ketua Menteri Melaka itu berkata promosi itu bagi mendedahkan kepada orang ramai berkaitan muzium yang mengandungi pelbagai informasi terutamanya mengenai sejarah awal penubuhan dan perjuangan UMNO.

"Jika orang menyatakan Muzium UMNO ini tiada sambutan, ia kurang tepat kerana pelawat dan pelancong kebanyakannya suka untuk mengetahui sejarah UMNO.

"Sebagai contoh pelancong dari China suka melawat Muzium UMNO kerana di negara mereka tiada muzium parti, jadi mereka juga pernah mencadangkan untuk kita menjaga muzium ini sebaiknya dan adakan promosi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri Melaka anjuran Majlis Agama Islama Melaka di Seri Negeri, di sini hari ini.

Idris berkata pihaknya akan membuka enam buah booth termasuk Muzium Umno bagi mempromosi dan menarik pengunjung berkunjung ke negeri bersejarah tersebut.

"Kita akan adakan promosi besar-besaran di sana nanti termasuk mengadakan cabutan bertuah untuk mereka yang datang ke ruang pameran," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata pihaknya akan menambah baik fasiliti serta infrastruktur muzium tersebut bagi membolehkan pengunjung berasa selesa ketika berkunjung di muzium berkenaan.

"Ini merupakan satu cabaran besar bagi kita dalam memberi pendedahan kepada golongan muda untuk mereka melihat dan mengetahui mengenai perjuangan dan sejarah parti UMNO," katanya.

Sumber - BERNAMA