Lebih Baik Mesyuarat Dirasmi Presiden - Veteran UMNO


JASIN, 25 Nov - Seorang veteran Umno berpendapat bahawa mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap UMNO - Wanita, Pemuda dan Puteri - pada Perhimpunan Agung UMNO bulan depan sebaiknya dirasmikan sendiri presiden parti, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tan Sri Abdul Aziz Tapa berkata langkah itu penting bagi memperlihatkan hubungan rapat Presiden UMNO dengan sayap parti itu serta anggota peringkat akar umbi parti keramat orang Melayu itu.

"Sebaik-baiknya ketua itu merasmikan sendiri. Pada saya ketua kita mesti ada hubungan...kalau tidak nampak ketua, ketua itu tidak (nampak) turun ke bawah (ke peringkat akar umbi)," katanya kepada Bernama di Kampung Rim di sini Rabu.

Majlis Tertinggi UMNO semalam memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing, berikutan cadangan daripada semua sayap berkenaan.

Abdul Aziz, 92, berkata hubungan baik antara semua pemimpin parti dan anggota peringkat akar umbi perlu disemai serta diperkukuhkan bagi memastikan UMNO dapat mengatasi pelbagai cabaran mendatang.

Beliau berkata anggota sendiri terutamanya di peringkat akar umbi yang mengetahui masalah dalam parti, maka adalah penting bagi semua pemimpin parti mempunyai hubungan yang akrab dengan anggota dari semua peringkat.

"Bila sudah akrab mudahlah pemimpin nak tahu, nak fahami apa masalah sebenar dihadapi (parti) dan merancang cara nak mengatasinya, ini perlu ditekankan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemimpin dan anggota UMNO menggunakan perhimpunan itu untuk duduk bersama serta berbincang dengan mengutamakan kepentingan parti.

"Mereka yang diangkat menjadi pemimpin kita mesti taat setia, bila ada orang nak mengganti pemimpin (dengan cara tidak betul) parti akan rosak maka kerajaan akan rosak," kata Abdul Aziz yang kali terakhir menghadiri perhimpunan itu pada November 2012.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keputusan yang dibuat merupakan satu langkah bijak ke arah transformasi parti tunjang Melayu tersebut menjelang pilihan raya umum ke-14 nanti.

Menteri Besar Terengganu itu juga yakin pembaharuan itu bakal memberi impak positif terhadap parti dan bukanlah satu keputusan yang menjadi kesalahan dalam parti.

"Malah ia boleh mendatangkan kebaikan kepada UMNO. Melalui pembaharuan ini, pemimpin sayap UMNO juga akan berpeluang untuk lebih fokus dalam ucapan mereka yang sudah tentu sangat terkesan di hati perwakilan," katanya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata keputusan itu harus diterima dengan hati terbuka oleh semua pihak termasuk Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Keputusan ini tidak salah sebab memang tidak ada dalam perlembagaan parti menetapkan siapa yang harus merasmikan mesyuarat ini," katanya.

Sumber - BERNAMA

* Gambar sekadar hiasan