JPJ Selangor sita 164 kereta klon

Shah Alam : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor rampas 164 kenderaan klon yang dianggarkan bernilai RM2.4 juta antara Januari lalu hingga hari ini.

Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib berkata, pemeriksaan mengejut menerusi rondaan yang dijalankan pihaknya mendapati kenderan yang dirampas menggunakan nombor pendaftaran palsu dan tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insuran.

Beliau berkata, kenderaan pelbagai jenis yang dirampas antaranya jenis Honda, Toyota, Mitsubishi, Volkswagen dan BMW dipercayai di bawa masuk daripada negara jiran seperti Singapura dan Thailand oleh sindiket tertentu.

"Operasi mengesan kenderaan klon ini terus dipergiatkan kerana ia menjadi satu kesalahan menggunakan kenderaan yang tidak didaftar secara sah dengan JPJ.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan individu tertentu yang menawarkan kenderaan pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran kerana ia dikhuatiri kenderaan klon," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Sumber : Harian Metro