Saya tetap bersama Parti - Ku Li

mahupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sebagai ahli Umno, pendiriannya lebih berpihak kepada parti selagi perkara yang diputuskan parti berkenaan tidak bertentangan dengan undang-undang yang ditetapkan.

"Saya tidak sokong sesiapa. Saya ahli Umno dan bersama parti saya. Kalau orang itu bukan lagi bersama parti, macam mana saya nak bersama walaupun ada persamaan pemikiran.

"Saya perlu pertimbangkan apa yang Umno putuskan. Sekiranya Umno putuskan perkara bertentangan undang-undang, tak boleh ikut kerana sebagai ahli parlimen, saya bersumpah mempertahankan perlembagaan negara. Yang tidak benar, saya tidak boleh sokong," katanya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Ibu Bapa di Paloh 1, di sini.

Ditanya mengenai keupayaan Mahathir dalam meraih sokongan rakyat, Tengku Razaleigh yang lebih mesra disapa Ku Li memberitahu, bekas pemimpin itu mungkin boleh meneruskan perjalanan politik sekiranya ada pengaruh dan sokongan orang ramai.

"Kalau ikut perlembagaan, Perdana Menteri hanya boleh dilucutkan jawatan dengan kuasa ahli parlimen. Sekiranya ada yang berjaya pujuk dan majoriti tidak mahu (Datuk Seri) Najib, ia boleh dilakukan dengan mengundi usul yang dibawa di Dewan Rakyat.

"Maka Yang Dipertuan Agong terpaksa bertindak menukar Perdana Menteri atau kerajaan. Bagaimanapun, langkah paling baik tunggu pilihan raya," katanya lagi.

Mengulas mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ku Li menjelaskan beliau kekal berpendirian dengan berpegang kepada kebenaran setelah laporan Ketua Audit Negara siap sepenuhnya.

"Ahli parlimen dan orang ramai desak agar laporan itu dibentangkan di parlimen. Kita tengoklah nanti. Namun, pendirian saya jelas di mana apabila laporan siap, kita akan pertimbangkan.

"Ia soal benar atau tidak dan saya hanya berpegang kepada kebenaran. Sekarang, kita tak tahu lagi apa laporannya kerana masih dirahsiakan menerusi Akta Rahsia Rasmi," jelasnya lagi.

Lawatan tiga hari Ku Li yang berakhir di Paloh 1 itu juga turut meraikan ulang tahunnya yang ke 79 di beberapa lokasi termasuk Lebir dan Paloh.

Ditanya mengenai hasratnya di usia ini, Ku Li berharap agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik agar dapat berkhidmat kepada rakyat.

"Ada orang suruh saya berkahwin lagi," katanya dalam nada gurauan.

Sumber : Bernama