Anak dibuli hadiah harijadi

Kota Bharu : Seorang bapa menerima kejutan sempena hari lahirnya ke-50, kelmarin apabila dimaklumkan seorang daripada lima anaknya retak tulang leher selepas ditendang pelajar senior.

Kejadian itu didakwa berlaku dalam kelas kosong di sebuah sekolah di Pengkalan Chepa, di sini, pada jam 1.45 tengah hari yang menyebabkan mangsa, Aiman Hazim Zulkeflee, 15, dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Aiman Hazim dipercayai ditendang seorang pelajar tingkatan empat sebanyak dua kali di leher dan terjatuh. Dia kemudian mendakwa ditendang sekali di dagu hingga pengsan.

Dia dibawa pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa sebelum dirujuk ke HRPZ II, namun dilaporkan stabil.

Bapanya, Dr Zulkeflee Yaakob, 50, yang juga pensyarah berkata, beliau dimaklumkan kejadian menimpa anak keduanya itu oleh isteri, Siti Noor Sidin Ahmad, 43, sebelum bergegas pulang.

“Ketika dihubungi isteri, saya berada di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak kerana rakan sekerja mengadakan majlis sambutan hari jadi saya.

“Dalam perjalanan pulang selama lapan jam, pelbagai perkara bermain di fikiran terutama mengenangkan nasib Aiman Hazim.

“Saya sama sekali tidak menyangka perkara itu boleh berlaku kerana dia bukanlah anak yang bermasalah di sekolah.

“Lebih sedih lagi apabila kejadian berlaku pada hari kelahiran saya,” katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini, semalam.

Zulkeflee berkata, doktor memberitahu tulang leher Aiman Hazim retak, tetapi keadaannya stabil.

“Sehingga kini, emosi dia masih terganggu dan trauma. Saya juga tidak tahu punca sebenar kejadian kerana dia tidak bercerita banyak.

“Dia berkelakuan seperti biasa, cuma saya dimaklumkan oleh isteri, pada hari kejadian anak saya itu seolah-olah tidak mahu ke sekolah namun tidak memberitahu alasannya,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu, semalam, untuk siasatan lanjut.

“Saya menuntut keadilan dan siasatan segera dijalankan oleh pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan polis untuk mengenakan hukuman kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya kejadian sama tidak berulang.

“Sekiranya siasatan membuktikan anak saya yang bersalah, saya rela dia diambil tindakan termasuk diberhentikan sekolah.

“Namun, jika sebaliknya, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah untuk menuntut ganti rugi teladan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Jaafar Ismail ketika dihubungi memaklumkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan.

sumber : hmetro