Tuduhan Liar dan Palsu Tun Mahathir

Putrajaya – Dakwaan yang mengatakan wang RM42 billion hilang daripada 1MDB, seperti yang dituduh oleh Tun Mahathir ternyata tidak benar dan tidak berasas.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berkata, hasil siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) – sebuah badan dwi-partisan yang melibatkan ahli parlimen pembangkang, dan Jabatan Audit Negara sebaliknya mendapati wujudnya kelemahan dalam struktur kapital dan pengurusan 1MDB.

“Kami akan mengkaji dan bertindak selari dengan apa yang telah dianjurkan oleh laporan tersebut.

“Kita mesti pastikan bahawa pengajaran telah diambil, dan tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat sebarang bukti penyelewengan,” jelasnya dalam satu kenyataan, seperti yang dipetik pada status facebook rasmi beliau.

Najib yang juga Penasihat kepada 1MDB berkata, tuduhan Tun Mahathir terhadap 1MDB selama ini jelas palsu.

“Beliau telah dipandu oleh matlamat peribadinya sendiri, bukannya demi kepentingan negara dan tentunya berhasrat untuk menggulingkan kerajaan yang sedia ada.

Sebelum ini kata Najib, beliau mengikuti secara dekat beberapa tuduhan berat yang dibuat ke atas 1MDB oleh Tun Mahathir, terutama tuduhan yang menyatakan bahawa RM42 billion telah hilang.

“Sehubungan itu, Kabinet di bawah arahan saya telah meminta Ketua Audit Negara pada Mac 2015 untuk melakukan penyiasatan secara bebas ke atas akaun kewangan 1MDB.

“Untuk memastikan bahawa proses penyiasatan ini adalah telus, kami juga mengarahkan supaya hasil siasatan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) – sebuah badan dwipartisan yang turut melibatkan ahli parlimen pembangkang.

Setelah proses yang menyeluruh katanya, PAC telah membentangkan laporannya berserta hasil siasatan kepada Parlimen.

“Laporan ini mewakili persetujuan antara semua ahli PAC dan hasil siasatannya adalah berdasarkan fakta dan ratusan jam penilaian dan siasatan,” jelasnya yang merakamkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana menghasilkan laporan yang komprehensif, konklusif dan tepat.

Selepas ini kata Najib, pihaknya akan terus fokus kepada rancangan ekonomi dan memperkasakan ekonomi – yang mana telah berterusan menunjukkan keutuhan dalam menghadapi cabaran global.

sumber  : Bicara.news