Roti Gardenia bebas dari L-cysteine ekstrak rambut manusia

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan bahan L-cysteine yang diperoleh daripada ekstrak rambut bagi menghasilkan produk berasaskan roti.

Presiden CAP, S M Mohamed Idris, berkata majoriti produk berasaskan roti termasuk pizza menggunakan bahan itu bagi tujuan melembut dan menaikkan doh serta menambah perisa makanan.

"Saya menggesa pihak berkuasa mengharamkan bahan L-cysteine berasaskan sumber haiwan dan mewajibkan pelabelan mandatori bagi bahan ini dalam produk yang dijual di Malaysia.

Kita dapati L-cysteine yang diimport dari China diekstrak daripada rambut manusia yang sebahagian besar diperoleh dari kedai gunting rambut dan bulu pelepah ayam," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pagi tadi.

Mohamed Idris berkata, China adalah pengeluar L-cysteine terbesar dunia dan 85 peratus daripadanya dieksport ke Asia Tenggara, Amerika Syarikat, dan Eropah.

"Pada 2012, China menghasilkan 7,700 tan L-cysteine yang diekstrak daripada rambut manusia, bulu haiwan dan paling jijik ada pengeluar menggunakan bulu babi bagi mendapatkan bahan itu.

"Mengikut undang-undang Syariah adalah haram bagi umat Islam memakan mana-mana bahagian anggota tubuh manusia," katanya. Menurut Jadual 11 Peraturan Makanan 1985, penggunaan L-cysteine dibenarkan dalam tepung gandum kerana kandungan proteinnya yang tinggi dan sesuai untuk membuat roti.

Sumber : Berita Harian Online