#PengkalanKubor - Calon BN Tekad Bantu Petani Muda Jika Menang



Calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail bertekad membantu golongan muda menceburi sektor pertanian jika beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 Sept ini.

Bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat itu, berkata itu adalah antara iltizamnya kerana beliau yakin kerajaan pusat bersedia untuk membantu golongan itu jika BN terus menjadi pilihan rakyat kawasan itu.

"Lebih 40 peratus golongan muda yang menjadi pengundi di DUN ini akan menjadi perhatian utama saya tanpa meminggirkan golongan pengundi yang lain. Percayalah ini iltizam dan matlamat saya jika BN terus diberikan mandat di sini.

"Saya akan bertemu dengan golongan muda ini seberapa (kerap) yang boleh bagi menjelaskan niat saya ini kepada mereka," katanya kepada pemberita di Pusat Daerah Mengundi Telaga Bata di sini, pada Isnin.

Mat Razi, 48, berkata sebelum ini beliau sentiasa berdamping dengan golongan pemuda kerana aktif dalam sukan.

"Saya rasa tidak sukar buat saya untuk bertemu mereka sepanjang kempen PRK ini," katanya.

Beliau berkata belia yang menjadikan pertanian sebagai kerjaya utama perlu dibantu untuk mengeluarkan produk-produk berasaskan pertanian di kawasan itu.

Terdahulu dalam ucapannya Mat Razi menggesa pengundi keluar beramai-ramai untuk mengundi pada 25 Sept ini.

Katanya setiap undi adalah penting buat BN bagi meneruskan perjuangan yang belum selesai oleh penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar.

PRK itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 25 Sept ini sebagai hari pengundian.

Pada PRK itu calon BN Mat Razi Mat Ail dicabar calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lepas, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Sumber : Pilihanrayakini.com